Friday, May 13, 2022

Cadangan bertulis berkenaan Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti (8 Apr 2022)

Untuk pengetahuan semua, saya pernah memberi pandangan dalam tulisan (‘A case for anti-hopping law’ yang dipaparkan dalam akhbar The Malaysian Insight dan ‘Membendung politik oportunistik: Undang-undang Anti-Lompat lebih berkesan daripada Pemecatan ahli’ (tajuk diterjemahkan dari Bahasa Cina) di Contemporary Review). Saya juga pernah menjadi panelis dalam satu forum awam atas talian bersama dengan YB Teo Nie Ching dan Prof. Wong Chin Huat, berbicara mengenai topik yang sama. Di sini saya cuba menjawab juga apa yang ditetapkan oleh Parameter RUU (Lampiran A).

Sebagai seorang demokrat yang menjunjung prinsip demokrasi dan menghormati nilai-nilai demokrasi berparlimen, pertama sekali saya ingin menyatakan bahawa ketuanan pengundi adalah penting dan ia memberi mandat kepada wakil-wakil rakyat di Parlimen dan DUN masing-masing. Apabila terdapat keraguan besar terhadap kesahihan mandat, langkah terbaik dan adil adalah memulangkan hak kepada pengundi-pengundi yang terjejas untuk membuat keputusan lagi. Dalam situasi sedemikian, pilihan raya kecil (PRK) seharusnya diadakan untuk mendapatkan jawapan dalam soal sesiapa yang memiliki mandat tersebut untuk mewakili pengundi-pengundi.

Semasa seorang ahli Parlimen menukar parti sepanjang tempoh perwakilan, ini telah menimbulkan keraguan yang cukup besar, sebab kebanyakan pengundi mengikut amalan memilih parti yang digemari dan berhasrat dapat menentukan parti yang membentuk kerajaan pada akhirnya. Kempen pilihanraya selalu menyuruh dan mendidik pengundi memangkah undi mengikut simbol parti politik, justeru ini adalah bukti amalan kebanyakan pengundi.

Sekiranya ahli Parlimen menang bertanding atas tiket BEBAS, beliau memasuki parti dalam tempoh perwakilan adalah perlu mengenal pasti semula mandat beliau [Soalan 2]. Kalau seseorang ahli Parlimen dipecat, perwakilan atas nama parti asal bertukar, beliau harus diberi peluang untuk membukti dalam PRK bahawa beliau kekal popular dan diberi mandat untuk meneruskan perwakilan [Soalan 4]. Ada sesetengah pihak menganggap tindakan ‘kosongkan kerusi’ ahli yang dipecat tidak adil, namun parti asal turut mengambil risiko kerana tindakan pemecatan ahli wakil rakyat akan menggadaikan parti tersebut satu kerusi dengan serta-merta, pada masa yang sama ia tidak pasti dalam PRK berikutnya parti tersebut boleh berjaya mempertahankan kerusi tersebut dari bekas ahli dan calon-calon parti lain. Oleh itu, secara rasionalnya, parti politik tidak akan memecat seseorang ahli wakil rakyat sewenang-wenangnya dengan alasan yang remeh, misalnya ahli tersebut ada pendirian berlainan dengan salah satu dasar polisi atau program parti di Dewan Rakyat. Biarlah ketidaktentuan mandat dalam situasi ini diselesaikan oleh PRK.

Praktis seseorang calon yang menggunakan simbol parti orang lain untuk bertanding, haruslah memikul tanggungjawab atas perbuatannya dan beranggap mewakili parti tersebut [Soalan 5]. Tiada masalah kalau calon yang menang itu memasuki parti tersebut pada masa depan secara rasmi. Seandainya beliau hendak ‘keluar’ parti menjadi BEBAS semula, tindakan ini haruslah dianggap bertukar parti.

Konteks bagi perwakilan gabungan atau parti komponen, adalah bergantung kepada simbol yang digunakan/diterbit atas kertas undi. Contohnya, jika seseorang calon adalah bertanding dengan menggunakan simbol Pakatan Harapan walaupun beliau adalah ahli parti DAP, jikalau beliau ‘melompat’ ke PKR dan kedua-dua parti ini masih dalam gabungan Pakatan Harapan, perbuatan ini tidak menyalahi mandat sokongan kepada Pakatan Harapan, kerusi tidak perlu dikosongkan [Soalan 6(i)]. Tetapi, jika calon tersebut bertanding atas simbol parti politik DAP (roket) dan menang, kemudian beliau bertukar parti ke PKR, perbuatan beliau haruslah dianggap ‘lompat’ parti. Kalau ahli Parlimen DAP tersebut bertukar ke Gerakan (dalam gabungan Perikatan Nasional), tidak kisah sama ada simbol asal adalah Pakatan Harapan ataupun roket juga dianggap ‘lompat’ parti [Soalan 6(ii)].

Pada pendapat saya, punca kuasa/perwakilan seorang ahli Dewan Negara adalah berbeza dengan ahli Dewan Rakyat yang bertanding di pilihanraya. Jika kelayakan seseorang ahli Dewan Negara adalah datang daripada mandat Dewan Undangan Negeri, ahli tersebut bertukar parti perwakilan tanpa persetujuan DUN adalah tidak munasabah dan tiada PRK untuk menyelesaikan pertikaian ini. Oleh itu, saya bercadang supaya kerusi ahli terlibat itu dikekalkan sehingga DUN menghantar perutusan baru untuk menukarkan ahli atas syarat-syarat tertentu [Soalan 3]. Saya juga ingin mengesyorkan bahawa RUU/ peruntukan baru ini haruslah membezakan mekanisme larangan bertukar parti bagi ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Negara.

Bagi persoalan berkenaan kesesuaian RUU/peruntukan baru boleh dikenakan atas ahli DUN, saya berpendapat bahawa ada pindaan perlembagaan yang perlu diperkenalkan kepada semua wakil-wakil rakyat yang dipilih akibat pilihan raya umum/negeri, seperti mengubahsuai definisi kebebasan berpersatuan dan menghapuskan larangan wakil-wakil rakyat (ahli parlimen dan ADUN) untuk bertanding selama 5 tahun sekiranya meletak jawatan [Soalan 7].

Saya bercadang supaya Kerajaan juga mempertimbangkan penggubalan akta baru/khusus bagi tujuan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti. Oleh sebab akta ini perlu menyatakan banyak definisi, syarat/parameter dan senario yang mungkin teknikal, hanyalah dengan adanya akta baru/khusus boleh memastikan semua aspek boleh dijalankan dengan sempurna [Soalan 1]. Tetapi, negeri-negeri haruslah diberi peluang untuk melaksanakan mekanisme/ menetapkan enakmen negeri bagi tujuan larangan bertukar parti yang berlainan berbanding dengan Persekutuan [Soalan 7], jadi penggubalan akta khusus ini perlulah sensitif untuk membenarkan negeri-negeri mencari mekanisme terbaik bagi mereka menangani masalah lompat parti.

Akhir sekali, saya ingin bercadang supaya penamaan akta khusus/baru itu boleh menjadi lebih positif dan bersesuaian dengan nilai-nilai demokrasi. Contohnya, saya bercadang Akta ini dinamakan sebagai Akta Mengesah Semula Mandat (Mandate Reaffirmation Act), nama ini lebih mencerminkan tujuan untuk menentukan mandat wakil rakyat melalui demokrasi pilihanraya, sebaliknya nama yang bersifat negatif ataupun menghukum seperti larangan bertukar parti atau ‘anti-lompat’, yang sebenarnya tidak tepat kerana ahli-ahli Parlimen diberi kebebasan untuk memilih parti mereka. Cuma janganlah mengikat terus dengan kerusi mereka tanpa bertanding semula (untuk mengesahkan mandat).