Friday, January 01, 2021

Lubang di jalan raya, tanggungjawab siapa?

Kebelakangan ini, ramainya yang suka mengejek JKR kerana mereka memohon maaf selepas insiden Menteri MOSTI Khairy Jamaluddin cedera sebab jatuh basikal akibat jalan berlubang.

Sikap JKR yang hanya mengambil tindakan segera apabila perkara tersebut melibatkan pihak atasan seperti seorang menteri, seumpama ‘double standard’ adalah patut dikritik oleh orang ramai.
Namun, tahukah anda, kebanyakan jalan raya di Malaysia adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri? Sebenarnya, sebanyak 92% jalan raya adalah dibawah bidang kuasa kerajaan negeri. Demikian, jika anda nampak jalan raya yang berlubang (selain lebuhraya bertol), berkemungkinan besar kerajaan negeri yang harus bertanggungjawab atas kerosakan jalan raya tersebut.
Jadi, janganlah hanya memaki JKR tanpa mempersoalkan pihak yang sepatutnya bertanggung jawab atas kerja-kerja memelihara dan memulihara jalan raya. (Dan jangan memaki sahaja kerana kerajaan sekarang bukan yang anda suka, itupun sikap ‘double standard’)
Tak payah cari jauh, pandang negeri tepi pun dah cukup. Kononnya maju ataupun 'smart' tapi mempunyai jalan raya yang berlubang-lubang dan membahayakan pengguna jalan raya.
Antara rakan saya pun pernah jatuh berbasikal kerana keadaan permukaan jalan raya yang merbahaya. Nak tau di mana? negeri yang bergelar 'Smart' itulah!



Mengikut Perlembagaan Persekutuan Malaysia Jadual Kesembilan:

Senarai I (10)

Perhubungan dan pengangkutan, termasuk—

(a) Jalan, jambatan, feri dan cara perhubungan yang lain jika diisytiharkan sebagai persekutuan oleh atau di bawah undang-undang persekutuan;

dan Senarai II (6)

Kerja-kerja Negeri dan air, iaitu:

(a) Kerja raya bagi maksud Negeri;

(b) Jalan, jambatan dan feri, selain yang ada dalam Senarai Persekutuan, pengawalseliaan berat dan kelajuan kenderaan di atas jalan itu;


Jadi, intepretasi saya adalah, selain apa yang dimaksudkan di bawah bidang kuasa persekutuan, negeri adalah bertanggungjawab terhadap jalan-jalan negeri.

Bidang kuasa berkenaan dengan jalan raya biasanya dibahagikan, dalam pengetahuan saya, kepada Kerajaan Persekutuan (menjaga lebuhraya bertol, jalanraya antara negeri, dan semua dalam wilayah persekutuan), Kerajaan Negeri (menjaga semua jalan luar bandar dalam negeri melalui JKR), dan Kerajaan Tempatan (jalan bandar).

Mengapa JKR negeri (yang seterusnya dibahagi lagi kepada JKR Daerah) tidak seharusnya bersamaan dengan Kerajaan Persekutuan semata-mata, walaupun ia adalah agensi kerajaan persekutuan di bawah Kementerian Kerja Raya? JKR adalah penting untuk memastikan segala projek pembinaan jalan raya mengikut piawaian dan garis panduan JKR untuk semua kategori jalan raya. Ya, Kerajaan Persekutuan membiayai emolumen dan kos pengurusan JKR Negeri , tetapi arahan adalah diterima daripada EXCO Negeri yang mempunyai portfolio Kerja Raya. Segala kos pembangunan dan pemeliharaan/pemuliharaan jalanraya negeri adalah dibiayai oleh kerajaan negeri, walaupun mereka pun ada menerima geran daripada Kerajaan Persekutuan bagi maksud tersebut.

Memang benar juga bahawa geran kerajaan persekutuan bagi jalan-jalan negeri semakin berkurangan sejak tahun pemerintahan di bawah pimpinan bekas PM Najib, ini mungkin juga sebahagian sebab sesetengah negeri kurang berupaya untuk memelihara jalan raya dengan berkesan.

Pendek kaya, mesej saya adalah, jangan lihat JKR dan ingat ini semua berkenaan dengan Kerajaan Persekutuan!


No comments: