(The original first final draft. Slight editing takes place here to remove the identity of the presenter and direct reference to the Speaker)
1) JURANG PENDAPATAN DAN BANTUAN KEPADA ISI
RUMAH MISKIN
Saya ingin mengucapkan tahniah
kepada Kerajaan Pakatan Harapan yang telah membentangkan bajet kedua untuk
meneruskan usaha meringgankan beban rakyat, di samping itu mengaitkan
pentadbiran negara dengan Visi Kemakmuran Bersama (SPV )2030.
Dasar Menteri Kewangan meneruskan
peruntukan untuk Skim Bantuan Sara Hidup (BSH) pada tahun akan datang dalam
jumlah RM5 billion, dan memperluaskan skim lagi untuk meliputi golongan lain
yang berpendapatan rendah seperti individu bujang atau OKU, usaha kerajaan
prihatin ini haruslah disokong. Dalam ucapan Menteri, dasar lain yang menyentuh
isu kemiskinan adalah peruntukan sejumlah RM575 juta yang dikatakan akan
memanfaatkan 137 ribu warga emas yang hidup di bawah garis kemiskinan.
Usaha untuk membantu golongan
yang memerlukan seperti isi rumah B40 terutamanya individu yang hidup di bawah
garis kemiskinan, adalah amat dialu-alukan. Dasar Kerajaan Pakatan Harapan
untuk mengurangkan jurang pendapatan di antara bandar dan luar bandar, seperti
mana yang diumumkan di dalam ucapan Bajet juga perlu dipuji.
Akan tetapi, saya ingin
membangkitkan beberapa isu yang berkaitan:
1) Jurang pendapatan di antara isi
rumah T20 , M40 dan B40, kalau diukur dalam nilai wang penengah pendapatan
bulanan, seperti mana yang diterbit dalam buku SPV2030, perbezaan telah
diperluaskan dari RM1,935 pada tahun 1989 sehingga RM10,148 pada tahun 2016.
Sebenarnya, jika nilai tersebut diselaraskan dengan kadar inflasi, pendapatan isi
rumah B40 dan M40 pun ada peningkatan dan tambahbaik dengan ketara. Dalam penerbitan
Khazanah Research Institute (KRI) yang berjudul “The State of Households 2018: Different Realities”, ia telah
menunjukkan bahawa pengagihan purata pendapatan isi rumah M40 dan B40 meningkat
dari tahun 1970, sehingga 17.7% dan 29.4% purata pendapatan T20 pada tahun 2016. Maka, Gini coefficient bagi tahun 2016 yang
terkini, negara kita telah mencatat
rekod baru yang terrendah dalam sejarah, iaitu 0.399. Untuk pemberitahuan Dewan
yang mulia ini, jurang pendapatan di antara tiga kaum utama, walaupun masih
ada, tetapi sebenarnya ada bertambah baik. Dalam penerbitan KRI pada Ogos 2016,
Carta 24 telah menunjukkan bahawa jurang
pendapatan isi rumah di antara kaum telah dirapatkan dari 1995 sehingga ke
2014, jika kesemua golongan kaum diperbandingkan kepada rujukan nilai penengah
pendapatan isi rumah. Kaum yang dikategorikan sebagai ‘lain-lain’, nilai
penengah pendapatan isi rumah mereka adalah RM3,780 pada 2016, RM1,066 ataupun
22% lebih rendah daripada Bumiputera. Situasi mereka mungkin juga perlu menarik
perhatian kerajaan.
Tanda baik pentadbiran
sebuah negara yang mengamalkan prinsip Kemakmuran Bersama, adalah pengagihan
kekayaan negara yang sedia ada dengan lebih saksama terutamanya menjaga kebajikan
golongan yang paling tidak berkemampuan, tanpa mengira kaum atau agama.
Saya tidak ada masalah dengan sesiapa
yang dapat menikmati pendapatan ataupun kekayaan yang lumayan, sekiranya mereka
memperolehinya dengan cara yang sah dan mematuhi undang-undang negara ini
dengan membayar cukai-cukai yang berpatutan. (Ya, korupsi adalah dikecualikan).
Saya juga berpendapatan, sesiapa yang berupaya untuk memperkayakan diri, adalah
wajar memikul beban tanggungjawab sosial yang lebih berat seperti membayar
cukai yang lebih tinggi. Jadi, saya menyokong dasar kerajaan untuk
mengestrukturkan sistem cukai pendapatan supaya menjadi lebih progresif.
Pengenalan banjaran baharu cukai pada 30 peratus bagi individu yang
berpendapatan tahunan bercukai melebihi RM2 juta, adalah berpatutan dan menuju
ke arah yang betul. Hanya kenaikan dua peratus sahaja berbanding dengan kadar
tertinggi yang sedia ada, saya rasa golongan kecil ini mampu dan rela. Kerajaan
juga perlu meningkatkan usaha penyiasatan dan penguatkuasaan supaya kes-kes
pengelakan cukai dapat dikesan. Pihak berkuasa haruslah mengambil tindakan
tegas terhadap sesiapa yang bertanggungjawab. Hasil kerajaan yang dikutip
dengan efisen boleh memastikan kerajaan mempunyai lebih modal untuk
perbelanjaan ke atas kebajikan rakyat.
2) Masalah isu jurang pendapatan bukanlah
bagi kerajaan memperlahankan kadar pertumbuhan kekayaan T20 ataupun T1. Akan
tetapi tumpuan isu adalah bagaimana kerajaan yang prihatin membantu golongan
yang paling memerlukan. Bilangan mereka bukan sedikit. Dewan yang mulia ini,
izinkan saya menjelaskan.
Sejak dekad kebelakangan ini,
dasar kerajaan semakin menitikberat sasarannya terhadap golongan pendapatan
rendah yang dikumpulkan dan diperkenali sebagai B40. Akan tetapi, golongan ini
merangkumi isi rumah pendapatan sederhana-rendah (sehingga RM4,360 pendapatan
bulanan), pendapatan rendah dan miskin. Isi rumah yang dianggap miskin adalah
golongan yang berpendapatan di bawah garis kemiskinan yang kini masih ditetapkan
pada tahap RM980 sebulan di Semenanjung Malaysia.
RM980 sebulan
ini adalah dianggap untuk perbelanjaan empat ahli sekeluarga, cuba bayangkan
seorang individu hanya boleh belanja tidak melebihi RM8 sehari?
Di sini, saya ingin menyeru
Kerajaan supaya lebih menitik berat kepada penggunaan pendekatan Kemiskinan
Relatif (‘Relative Poverty’) dalam
program-program menangani masalah kemiskinan. Menurut definisi KRI, kemiskinan
relatif termasuk isi rumah yang berpendapatan di antara garis kemiskinan yang
rasmi dan 60% penengah pendapatan isi rumah negara[1]. Adalah
didapati di negara kita mempunyai 1.54 juta isi rumah yang dikatakan hidup dalam
kemiskinan relatif pada tahun 2016, hampir penambahan setengah juta isi rumah
sejak tahun 1995.
3) Rakan-rakan sekalian, pernahkah anda terdengar konsep Gaji Hidup (‘Living Wage’)? Bank Negara Malaysia
(BNM) telah memperkenalkan konsep tersebut pada tahun yang lepas dalam Laporan
Tahunan 2017 mereka. Definisi Gaji Hidup, menurut mereka, adalah pendapatan
yang minimum yang diperlukan supaya sebuah isi rumah dapat menyertai
aktiviti-aktiviti masyarakat, berpeluang untuk pembangunan peribadi dan
keluarga, serta membebaskan diri daripada tekanan kewangan yang teruk. Mengikut
kajian dan pengiraan BNM yang dibuat pada 2016, mereka berpendapat bahawa Gaji
Hidup di Kuala Lumpur sepatutnya bermula dengan RM2,700 sebulan bagi seorang
individu sehingga RM6,500 sebulan bagi sebuah pasangan dengan dua orang anak.
KWSP pun mengeluarkan satu Garis
Panduan Belanjawanku untuk warga Lembah Kelang pada awal tahun ini. Nilai
anggaran Belanjawanku bulanan yang patut disediakan untuk individu perseorangan
yang memandu adalah RM2,490, manakala sebuah pasangan dengan dua orang anak
adalah RM6,620. Kalau tuan-tuan dan puan-puan meneliti, nilai anggaran
kedua-dua set BNM dan KWSP adalah berdekatan, secara tidak langsung menjustifikasikan
keperluan Gaji Hidup. Tetapi hakikatnya adalah, hampir 50% pekerja dewasa di
Kuala Lumpur[2]
memakan gaji kurang daripada RM2,500 sebulan pada 2016.
Di sini, saya ingin menyeru
kerajaan supaya menambahbaik sistem Bantuan Sara Hidup untuk memastikan
penerima BSH berada di atas garisan Gaji Hidup.
2) GAJI MINIMUM
1) Saya juga ingin mengucapkan
terima kasih kepada Menteri Kewangan dan Menteri Sumber Manusia kerana bercadang
untuk meningkatkan gaji minimum lagi ke RM1,200 walaupun hanya dilaksanakan di
bandar-bandar utama. Ini merupakan salah satu pengakuan bahawa gaji mininum
masih rendah dan tidak mencerminkan kos sara hidup sepenuhnya terutamanya di
kawasan bandar.
Akan tetapi, mengapa cadangan kerajaan
hanya berhenti setakat sahaja di bandar-bandar utama? Kini, perbezaan kadar
gaji minimum telah dipakai untuk Semenanjung (RM1,100) dan Malaysia Timur
(RM920). Namun perbezaan antara negeri di Semanjung adalah agak besar.
Misalnya, menurut Survei Perbelanjaan Isi Rumah 2016, perbelanjaan penggunaan
isi rumah bulanan di W.P. Kuala Lumpur dan di Kelantan adalah RM5,199 dan RM2,444,
dengan lain kata, adalah 113% lebih mahal tinggal di ibu kota. Sekarang apa yang
dicadangkan adalah kenaikan RM100 gaji minimum, saya tidak pasti jikalau
kenaikan ini adalah berskalar dengan perbezaan dalam kos hidup. Terdapat juga
perbezaan ketara walaupun dalam negeri, misalnya di Selangor, penduduk di Damansara
dan Sungai Besar mengalami dan menampung kos hidup yang agak berbeza. Saya
tidak bercadang untuk mengikut kes di India di mana mereka mempunyai 1200 kadar
merentasi seluruh negara, saya menyeru kerajaan agar perbezaan kadar gaji
minimum boleh dibuat sekurang-kurangnya sampai ke tahap negeri.
2) Saya juga ingin ambil kesempatan
untuk bertanya kepada Menteri Kewangan dan Menteri Sumber Manusia, bolehkah
kerajaan mengaji kes di UK di mana mereka ada kadar bagi Gaji Minimum Negara (National Minimum Wage) dan Gaji Hidup
Negara (National Living Wage).
Perbezaan adalah berdasarkan umur pekerja. Saya berasa peningkatan gaji minimum
adalah penting bagi pekerja berumur 25 tahun dan ke atas. Ini adalah kerana
mereka memerlukan perlindungan gaji yang lebih tinggi sewaktu kebanyakan
daripada mereka akan membina keluarga baru selepas perkahwinan. Bolehkah negara
kita ada model yang sensitif terhadap umur?
3) Di sini saya juga ingin
merujukkan rakan-rakan sekalian kepada dokumen SPV 2030 yang menyatakan bahawa
pecahan pampasan pekerja (Compensation of
Employees, CE) kepada KDNK di Malaysia pada tahun 2018 adalah sangat rendah
hanya 35.7% jika berbanding dengan negara-negara maju lain seperti Jerman
(51.5%). Selain terdapat gaji system yang berkait dengan produktiviti di
Malaysia (yang dilaksanakan hanya oleh segelintir majikan) seperti dihuraikan
di dalam buku Tinjauan Ekonomi 2020, saya ingin bercadang, berasaskan prinsip
Kemakmuran Bersama, bahawa gaji minimum dinaikkan dan diselaraskan mengikut
pengiraan yang sensitif terhadap kos hidup tempatan dan umur pekerja. Dengan
itu, diharapkan gaji pokok bagi pekerja di rantai atas juga dapat diselaraskan
secara tidak langsung. Pecahan CE kepada KDNK mestilah dipertingkatkan bagi memastikan
pengagihan kekayaan hasil pertumbuhan ekonomi adalah lebih saksama.
3) MEMPERKUKUHKAN SEKTOR PERUBATAN AWAM
1) Saya ingin merakam terima kasih setinggi-tinggi kepada Menteri Kewangan and
Menteri Kesihatan atas pertimbangan untuk menaiktaraf dan membesarkan Hospital
Tengku Ampuan Rahimah Klang. Kepada penduduk-penduduk yang berada di sekitar
Klang yang sering menggunakan perkhidmatan di hospital pakar negeri Selangor
ini, mereka akan bersetuju dengan usaha naiktaraf yang amat diperlukan
memandangkan situasi yang bertambah runcing menangani permintaan pesakit yang
semakin meningkat. Kapasiti hospital yang sedia ada sering tidak cukup memenuhi
permintaan yang tinggi, cuba bayangkan kemasukan purata hampir 200 pesakit[3]
dalam memerlukan katil setiap hari.
2) Selain itu, saya amat bersyukur dengan peruntukan RM50
juta demi pembaikan dan penyelengaraan jalan raya ke Pelabuhan Klang. Bukan
sahaja peruntukan ini adalah positif kepada pertumbuhan infrastruktur Pelabuhan
Klang, tetapi demi keselamatan pengguna jalan raya. Cedera parah akibat kemalangan
jalan raya adalah di antara sebab-sebab utama kemasukan dan kematian di
hospital-hospital Malaysia, termasuk juga di kawasan Pelabuhan Klang yang
sering berlaku kemalangan. Jalan raya di sekitar pelabuhan mestilah boleh
sentiasa diawasi kerana kerap kali pengangkutan berat menggunakan jalan.
3) Sekarang saya ingin merujuk kepada
peruntukan dan pengumuman dasar untuk Kementerian Kesihatan pada tahun depan.
Saya ada persoalan terhadap beberapa isu:
i) Perluasan skim MySalam. Adalah dimaklumkan bahawa skim
ini akan dipanjangkan kepada 45 penyakit kritikal, tambahan perlindungan 9
penyakit. Tetapi, Tuan Yang-dipertua, saya berasa hairan Polio telah disebut di
antara penyakit kritikal baru yang dimaksudkan. Ini adalah kerana Malaysia
telah pun mengisytiharkan sebagai negara bebas Polio sejak tahun 2000 Oktober[4].
Kes laporan terakhir adalah pada tahun 1992.
Persoalan saya adalah, mengapa MySalam memasukkan Polio
sebagai salah satu penyakit kritikal yang perlu dilindungi? Apakah 8 penyakit
yang lain? Bilangan lebih banyak, adakah ini bermakna skim MySalam lebih bagus?
Saya tidak ada bantahan terhadap kemasukan individu yang
berumur sehingga 65 tahun dan individu yang berpendapatan lebih tinggi tetapi
bukan dari golongan BSH. Persoalan saya, adakah syarat-syarat baru ini
merupakan reaksi Kerajaan dan Great Eastern terhadap kritikan masyarakat ke
atas bilangan dan jumlah tuntutan yang berjaya tetapi mungkin tidak melebihi
RM3 juta dalam tahun ini[5]?
Adalah dilaporkan bahawa, sehingga hujung Julai, MySalam telah meluluskan 135
tuntutan untuk penyakit kritikal dan 1,078 tuntutan kemasukan hospital sahaja,
berjumlah RM1.37 juta dikeluarkan dalam pembayaran, cuba berbanding dengan
premium tahunan sejumlah RM400 juta yang dibayar ke pihak Great Eastern.
Jika Kerajaan benar-benar ingin membantu para pesakit
penyakit kritikal, mengapa tidak menaikkan jumlah manfaat pampasan? Bagi
pesakit yang mengalami penyakit kritikal, ini bukanlah hal remeh-temeh, RM8
ribu adalah jumlah pampasan yang agak rentah jika dibandingkan kepada produk
insurans kesihatan yang sedia ada di pasaran. RM4 ribu yang kini dipanjangkan
kepada individu M40 juga merupakan bantuan simpati sahaja. Adakah mekanisme
yang dicadangkan sekarang paling berkesan untuk membantu pesakit-pesakit
berpendapatan rendah untuk menampung kos perubatan mereka, sedangkan mereka
mempunyai lebihan (‘surplus’) dalam
pengurusan skim ini yang agak melampau? Apakah jumlah pembayaran kepada
penuntut dijangka pada tahun 2020?
ii) Peruntukan RM60 juta sebagai penyediaan vaksin
Pneumococcal kepada semua kanak-kanak. Tuan Yang-dipertua, saya menyambut baik
cadangan dasar ini demi kesihatan awam. Memang benar dasar ini adalah
dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan, serta disyorkan dan disokong oleh
Organisasi Kesihatan Dunia (WHO). Saya difahamkan bahawa vaksin ini belum
dimasukkan ke Program Immunisasi Nasional (‘National
Immunisation Programme’) dan KKM akan berunding untuk mendapatkan harga
terbaik dengan syarikat-syarikat perubatan. Tuan Yang Dipertua, mengikut
statistik di dalam buku Petunjuk Kesihatan 2018, seramai 10,329 orang
dimasukkan ke hospital KKM dan 39 orang mati akibat jangkitan viral pneumonia.
Bilangan ini belum lagi termasuk pesakit-pesakit di hospital pengajian
perubatan dan hospital swasta. Alangkah baiklah jikalau vaksin ini boleh
membendung penyakit berjangkit ini dengan berkesan sekali, menjimatkan kos
rawatan dan membebaskan ruang kapasiti katil di hospital KKM.
iii) Perbelanjaan KKM untuk tahun depan. Walaupun jumlah
nilai peruntukan meningkat, tetapi, Tuan Yang-dipertua, tambahan perbelanjaan
KKM tidak mencukupi. Ya, hampir setiap tahun KKM boleh memupuk dada dan
menyatakan bahawa peruntukan perbelanjaan adalah jumlah nilai yang tertinggi
dalam sejarah. Tetapi peruntukan bagi tahun 2020 hanya bertumbuh 6.7%
berbanding dengan tahun yang lepas, kadar pertumbuhan ini adalah terendah dalam
4 tahun, ataupun seolah-olah tambahan sebanyak RM2 billion seperti tahun-tahun
yang lepas. Janji utama Pakatan Harapan Manifesto terhadap peruntukan
perbelanjaan KKM sebanyak 4% KDNK, nampaknya semakin jauh daripada kebolehan
untuk menunaikan janji. Saya terus kecewa.
Jangan salah faham maksud saya. Dalam situasi kewangan
yang ketat bagi KKM, mereka dapat mengagihkan bahagian yang lebih besar melabur
ke atas pembangunan KKM. Pecahan perbelanjaan untuk tujuan pembangunan adalah
tertinggi (pada 8.7%) sejak tahun 2013. Tahniah diucapkan kepada Menteri
Kesihatan kerana mengambil berat berkenaan membina kapasiti serta menyelengara infrastruktur
kesihatan. Haruslah puji KKM sekali lagi kerana peruntukan diberi untuk
menyediakan perkhidmatan Klinik Bergerak kepada komuniti-komuniti Orang Asli
yang tinggal di luar bandar, supaya mereka yang sakit boleh mendapatkan rawatan
perubatan.
Dalam analisa bajet KKM, saya pun mendapati peruntukan
bagi bahagian Perubatan dan Kesihatan Awam meningkat bagi kod objek am ‘Perkhidmatan
dan Bekalan’. Peruntukan adalah RM4.49 billion dan RM1.45 billion
masing-masing, adalah nilai yang tertinggi tercatat dalam 4 tahun. Haraplah ini
bermaksud KKM dapat memastikan bekalan ubat-ubatan dan bahan-bahan reagen
makmal sentiasa mencukupi dan sistematik, bagi memenuhi permintaan orang awam
yang memerlukan.
4) MENANGANI MASALAH JEREBU
Masalah jerebu yang melanda negara
kita pada bulan yang lalu jangan sekali-sekala kita lupakan. Itu bukan sahaja
isu alam sekitar, tetapi juga isu pertumbuhan sektor ekonomi yang mampan serta
isu kesihatan awam. Kalau tidak membendung masalah ini dari faktor pokoknya,
festival jerebu tahunan akan dilangsungkan selama-lamanya.
Selalunya orang kata, ‘rakyat sihat, negara makmur’,
tetapi partikel dalam asap jerebu, biar dikesan oleh PM10 ataupun PM2.5, dengan
jelasnya memudaratkan kesihatan rakyat jelata. Siapa rugi?
Rakan-rakan sekalian, adalah dilaporkan bahawa bilangan lawatan
pesakit luar ke hospital kerajaan telah meningkat secara mendadak 20-30%[6]
semasa kecemasan jerebu, terutamanya kes-kes kesulitan pernafasan dan alahan
mata. Kakitangan KKM juga diminta memanjangkan waktu perkhidmatan untuk
memenuhi permintaan orang awam yang desak. Kerugian besar dialami oleh negara
dari segi ekonomi kerana produktiviti kerja menurun akibat jerebu.
Saya pernah mengeluarkan satu
kenyataan media menyeru pertubuhan satu pasukan penyiasatan bersama di antara
Indonesia, Malaysia dan Singapura, berfungsi untuk membawa sesiapa yang
bertanggungjawab terhadap kebakaran di hutan Sumatra , Kalimantan dan di
serantau, ke muka pengadilan. Saya pun bercadang supaya kita mengikuti jejak
Singapura menggubal satu rang undang-undang seperti ‘Transboundary Haze Pollution Act 2014’ yang telah dikuatkuasakan
oleh pihak Singapura untuk menyaman syarikat-syarikat Indonesia yang terlibat.
Begitu juga kita boleh laksanakan sekiranya kita membangkit dan meluluskan
undang-undang seumpamanya di dewan mulia ini.
Selain itu, adalah amat berguna dan diberikuasa, jikalau peta
hotspot yang disiarkan di atas laman web
Asean Specialised Meteorological Centre
(ASMC) boleh ditambahbaik dengan membenarkan ketelusan data (data transparency) melaporkan informasi pemilik
tanah secara automatik bagi setiap lokasi hotspot
yang dikenalpasti. Dengan adanya informasi tersebut, malah orang awam mahupun
NGO pun boleh membantu memantau sesiapa yang seharusnya bertanggungjawab. Sudah
tentulah, semua negara yang terlibat haruslah bekerjasama untuk membekalkan
informasi yang tepat dan bermakna, kita tidak boleh hanya mendesak pihak
Indonesia membuat demikian. Adakah kerajaan-kerajaan negara ASEAN bersedia
untuk menampilkan diri di depan rakyat dengan penuh ketelusan dan akauntabiliti?
[1] RM3137, 60% daripada nilai penengah
pendapatan isi rumah (RM5228)
[3] Jadual
4.62, Petunjuk Kesihatan 2018, KKM
No comments:
Post a Comment