Thursday, July 15, 2021

Kapsul Rasuah Busters: Gejala rasuah bukti pentadbiran gagal

Mentadbir negara menuju kemajuan tidaklah mudah serta sukar apabila tiada aktiviti rasuah ini berleluasa lagi. Jika masalah rasuah ini tidak ditanggani dari peringkat pentadbiran lagi ia akan menghancurkan masa depan negara dan anak bangsa.

Ikuti Kapsul Rasuah Busters bersama Pengasas Bersama Agora Society Malaysia, Dr. Lim Chee Han berhubung membanteras rasuah dari peringkat pentadbiran negara.


https://www.facebook.com/rasuahbusters/posts/176783967757466

https://www.sinarharian.com.my/article/147476/VIDEO/Video-Shorts/Gejala-rasuah-bukti-pentadbiran-gagal

KAPSUL RASUAH BUSTERS


Hai, nama saya Chee Han, saya adalah seorang pengasas bersama Agora Society dan juga seorang ahli penyelidik dasar kesihatan awam. 


Agora Society adalah satu rangkaian nasional merangkumi ahli intelektual awam, aktivis dan penulis yang memupuk prinsip pentadbiran baik, mempertahankan hak asasi manusia dan menyokong penglibatan demokratik.

 

1. Apakah pandangan Dr mengenai rasuah dan boleh kongsikan kekecewaan Dr terhadap apa yang berlaku di dalam negara kita sekarang?



Pada pendapat saya, rasuah adalah satu symptom kegagalan sistem pentadbiran kerajaan dan institusi-institusi negara, budaya rasuah yang berterusan melambangkan kemerosotan akhlak moral masyarakat kita bersama.


Perkara ini bukanlah baru, amalan rasuah di negara kita mungkin sudah wujud jauh sebelum kemerdekaan negara. Rasuah sudah menjadi halangan utama bagi Malaysia melangkah ke negara maju seperti negara Korea Selatan, Singapura, Hong Kong dan Taiwan. 


Ya, memang betul negara masih boleh membangun dan mencapai KDNK beberapa peratus positif setiap tahun, tetapi potensi negara ini yang melimpah dengan kekayaan sumber semulajadi, tidak seharusnya setakat itu sahaja. 


Negara yang saya sebut tadi, mereka menitik berat atas pembanterasan dan pencegahan rasuah dengan sistematik. Hukuman berat sampai hukuman mati pun tak berguna, lihatlah negara China, rasuah masih masalah besar jika usaha untuk menangani masalah rasuah tidak dijalankan dengan sistematik.



2. Apakah yang paling digusarkan akan berlaku kepada anak bangsa pada masa akan datang dan mengapa Dr berasakan bahawa kali ini rakyat yang perlu bangkit membanteras rasuah.

Saya bimbang, pada masa depan, kalau kos perniagaan dan kos kehidupan menjadi semakin tinggi, peluang pekerjaan yang sesuai semakin tidak kelihatan, anak-anak bangsa kita hanya menemui ketidakadilan kerana sesiapa yang dapat peluang atau kelulusan adalah melalui rasuah, dan bukan lagi kerana dialah yang berlayak ataupun berdaya saing dengan kaliber dan bakat sendiri. 


Apa boleh mereka buat? Beranjak dan meninggalkan negara kita untuk masa depan yang lebih cerah, mereka mahu membuktikan diri sendiri.


Ya, saya sekarang sudah menjadi dewasa, ada keluarga dan kanak-kanak. Saya sudah berasa tidak senang untuk menampung segala kos kehidupan memandangkan harga perumahan, harga keperluan asas seperti kenderaan menjadi semakin tinggi. Ubat-ubat pun mahal. Semua ini ada berkenaan dengan amalan rasuah.


Hakikatnya, semua orang tahu, dalam sektor pembinaan, ia adalah satu-satu bidang yang terkotor dengan amalan rasuah. Dalam laporan kajian IDEAS yang diterbitkan semalam, sebanyak 6 sehingga 15 peratus kos pembinaan perumahan dan hartanah digunakan untuk membiayai rasuah sebagai kos pembelanjaan projek. Jika kos ini dapat dijimatkan sudah tentu boleh bantu menurunkan kos kehidupan ramai orang.


 

3. Apakah yang boleh digambarkan sekiranya rakyat gagal bergabung dan masih mengharapkan pihak lain yang menjalankan tugas membanteras rasuah?


Kalau tidak boleh membantu dalam kempen membanteras rasuah, sekurang-kurangnya saya berharap rakyat sendiri tidak menjadi geng perasuah. Pilihan adalah dalam tangan sendiri, walaupun pihak lain yang meminta rasuah. 


Oleh sebab itu, baiklah sendiri jadi teladan yang baik, dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah. Kami sendiri haruslah tegas dengan pendirian menolak rasuah. Jika ada peluang, melaporkan pihak yang meminta rasuah. Kita mestilah tahu, rasuah adalah satu kesalahan yang besar di sisi undang-undang.


Itulah yang tahap minima yang saya berharap dari rakyat biasa



 

4. Apakah perubahan yang Dr ingin lihat berlaku kepada negara ini?



Bagi usaha yang benar-benar membanteras rasuah, kami hendaklah meminta perubahan sistem ataupun reform: pertama sekali, berikan kebebasan sempurna dan sumber kakitangan dan kewangan yang secukupnya bagi SPRM untuk menjalankan tugas siasatan, dan mereka perlu ada kuasa dakwaan sendiri.


Pemberi maklumat haruslah dilindungi dan satu saluran sulit boleh diberikan kepada mereka yang berani melaporkan kes tanpa identiti mereka terdedah.


Rakyat perlu diyakini bahawa tiada akibat teruk akan terjadi sekiranya menolak rasuah ataupun berani membongkarkan kes rasuah. 


Dengan semua ini ada, barulah ada kemungkinan besar untuk menangkap sesiapa yang rasuah. 


Di samping itu, kerajaan perlu menilai semula punca-punca sesetengah pihak institusi yang lebih cenderung kepada rasuah, sama ada ini disebabkan oleh gaji yang teramat rendah? Jika layanan kebajikan anggota-anggota telah diperbaiki, bolehkah lebih banyak ketelusan dan had kuasa dikenakan kepada mereka, dan orang ramai boleh mengadu terhadap tingkah laku mereka? Jadi, rang undang-undang IPCMC adalah penting.


 

5. Apakah faktor utama rakyat tidak mampu menolak rasuah?


Tidak boleh dinafikan bahawa rasuah boleh membawa manfaat kepada kedua-dua pihak yang melakukan perbuatan tersebut. Pemberi rasuah boleh menolak kos luaran tersebut kepada pengguna-pengguna lain di samping itu ‘mempercepatkan’ dan ‘memastikan’ proses perjalanan projek. 


Pemberi rasuah juga boleh elakkan hukuman yang lebih berat, ataupun dapatkan sesuatu, sama ada lesen atau permit, yang diingini walaupun tak layak. Ini memang antara faktor-faktor penting yang menarik hati mereka kerana mereka ‘tak rugi’ dalam amalan rasuah, ada sesetengah rakyat langsung tidak anggap rasuah adalah kesalahan besar tetapi proses biasa saja. Jadi, amalan rasuah kian hari kian diserap dan dinormalisasikan.


 

6. Adakah sebarang formula untuk berkata TIDAK terhadap rasuah?


Sila jujur pada diri sendiri -- kalau anda salah, terimalah kompaun ataupun hukuman yang sewajarnya. Kalau tuduhan tidak benar, lawanlah dengan bukti dan fakta melalui saluran yang sah. 


Kalau anda layak terhadap sesuatu, mohon saja melalui saluran yang sah dan menunggu giliran anda. Anda boleh meminta pihak berkuasa menjalankan tugas dalam jangka masa dan berdasarkan peraturan yang ditetapkan -- inilah hak anda, tetapi anda tidak boleh memberi rasuah untuk memotong Q, itu salah dari segi undang-undang.


Kalau anda memang tidak layak, jangan cuba gunakan rasuah untuk membereskan. Sila usahakan sendiri.


 

7. Rukun Negara sebagai tonggak pendirian rakyat menolak rasuah. Bagaimana patriotisme dapat menjadi sempadan kepada rakyat dan pemimpin agar menjauhi najis rasuah?



Dalam Rukun Negara memang ada prinsip yang berguna, seperti ‘kedaulatan undang-undang’ dan ‘keluhuran perlembagaan’. Rakyat perlu ingat bahawa rasuah adalah salah di sisi undang-undang dan juga rosak akhlak dan bankrupt moral.


Ada orang yang gunakan patriotisme, saya hanya nak menegakkan hak sivik dan memupuk solidariti antara ahli-ahli masyarakat untuk menolak dan menjauhi rasuah, demi kebaikan semua bersama.


 

8. Keharmonian dipupuk secara tidak langsung dengan gabungan rakyat di dalam RasuahBusters menentang musuh bersama (common enemy) iaitu rasuah. Mampukah gerakan reformasi moral ini mengubah landskap ekonomi, politik dan sosial Malaysia di mata dunia dan apakah harapan Dr?


Memang tiada negara maju yang boleh kekal menjadi maju dan kaya jika mereka ada masalah rasuah sebesar dan serius seperti Malaysia. 


Gerakan reformasi moral boleh menjadi penggerak pertama dan utama bagi tujuan penglibatan ahli-ahli dari pelbagai sektor dan bidang. Tetapi Ini mungkin tidak mencukupi. Mesti adanya ahli anggota masyarakat yang bertekad menyokong perubahan sistem barulah dapat menangani masalah rasuah. 


Saya masih ada harapan, dan haraplah saudara-saudari bersama saya menentang rasuah. Terima kasih


No comments: