Wednesday, December 15, 2021

Suaram Podcast: Edisi COVID-19: Episode #3 - Isu Kesihatan di Malaysia Semasa Pandemik (14.12.2021)

 


Podcast URL: https://open.spotify.com/episode/5t5M11ebF1jILC1Hch7CYC

Episode Description

Malaysia juga suatu ketika pernah diancam dengan kes-kes wabak seperti virus Nipah, virus Zika, Chikungunya, selesema burung dan beberapa lagi lain. Ini bermakna negara kita mempunyai pengalaman dalam menangani wabak yang pernah berlaku. Di dalam Episod #3 Podcast SUARAM - Edisi Covid-19, Amirah menemu bual Dr Lim Chee Han, seorang Penyelidik Kanan kepada Third World Network - sebuah organisasi antarabangsa. Episod kali ini akan membincangkan tentang isu-isu kesihatan yang berlaku di Malaysia antaranya dari segi fasiliti, kakitangan kesihatan, bajet kesihatan serta penerimaan vaksin sebagai satu hak atau kewajipan.

***

1.       Dahulunya, Malaysia pernah diancam dengan kes-kes wabak seperti virus Nipah, virus Zika, Chikungunya, selesema burung dan beberapa lagi lain. Berdasarkan pemerhatian Dr, boleh Dr ceritakan pengalaman Malaysia dalam menangani wabak ini terdahulu?

 CH:

Memang benar bahawa Malaysia pernah menangani wabak-wabak yang membawa derita mahupun maut kepada masyarakat sejak kemerdekaan negara. Contoh-contoh wabak penyakit pada zaman dulu berleluasa seperti campak, tibi, batuk kokol, pertusis, polio dan lain-lain, semua ini kini telah dalam kawalan kerana wujudnya vaksin yang berkesan dan diberi kepada kanak-kanak sejak awal.

Benar juga bahawa wabak penyakit baru yang lebih kontemporari terutamanya Nipah dan SARS memberi cabaran yang besar kepada pihak pemerintah negara kita. Semuanya dikendalikan dengan agak baik, kerana ciri-ciri penyakit berbeza dengan COVID-19, orang yang dijangkiti lebih mudah dikesan dan dikuarantinkan.  Hanya 5 kes SARS dan 2 kes MERS dilaporkan kepada WHO yang telah dikendali oleh Malaysia, adalah dianggap penyakit telah dibendung kerana wujud unit aktif terhadap pemantauan penyakit dengan kerjasama antarabangsa dalam pengkongsian ilmu pengetahuan and informasi.

Susulan dan hasil daripada wabak SARS , Malaysia telah menetapkan satu dasar strategi yang komprehensif yang berjudul: Malaysia Strategic Workplan for Emerging Diseases (MySED Workplan) pada 2012. Versi kedua dikemaskini dan dikeluarkan pada 2017 susulan ancaman wabak Zika, dalam versi dasar strategi ini, Crisis Preparedness and Response Centre (ataupun lebih dikenali sebagai CPRC) telah ditubuhkan. Ini telah menyediakan Malaysia menangani COVID-19 pada peringkat awal dengan lebih bersistematik, dan Malaysia adalah di antara negara-negara pertama yang dapat mengesan virus SARS-CoV-2 dengan secara PCR dalam laboratori.

 

2.       Setahun yang lalu, negara China mengumumkan kematian Covid-19 yang pertama (Januari 2020). Kini wabak ini adalah antara 10 wabak yang membawa maut disenaraikan di dalam sejarah dunia. Pada pandangan anda, adakah Malaysia sebenarnya bersedia untuk menghadapi situasi pandemik sedemikian?

a)       Dari segi fasiliti (keperluan dan kemudahan kesihatan)

CH:


COVID-19 adalah antara wabak penyakit yang sukar ditangani. Ia jauh lebih mudah dijangkiti dan memberi risiko maut yang berkali ganda lebih tinggi daripada selsema influenza.

Oleh kerana konflik aktiviti manusia dengan alam semulajadi kerap berlaku dan komuniti masyarakat semakin berpeluang berinteraksi dengan haiwan liar , adalah dijangka wabak-wabak penyakit seperti COVID-19 akan berlaku dengan kekerapan yang lebih tinggi berbanding dengan zaman dulu.

Walau bagaimanapun, COVID-19 wujud atau tidak, fasiliti kesihatan di KKM haruslah dipertingkatkan, kerana kapasiti sekarang telah jadi sukar memuaskan  permintaan orang awam yang semakin tinggi. Sebelum pandemik, sesiapa yang kerap pergi melawat hospital pakar kerajaan ataupun hospital besar negeri, akan tahu bagaimana sesak dengan orang ramai dalam fasiliti tersebut. Bilangan katil juga tidak mencukupi di sesetengah hospital; banyak alat peralatan perubatan perlu diperbaiki ataupun dibeli yang baru bagi menaikkan taraf ataupun “upgrade”; lebih banyak hospital ataupun klinik dibangunkan terutama di kawasan bandaraya yang sering menghadapi kesesakan.

COVID-19 adalah lawan yang luar biasa. Dengan jangkitan yang berleluasa ataupun hilang kawalan pada peringkat komuniti tempatan, tiada negara boleh menampung permintaan rawatan penyakit kalau setiap hari ada kemasukan beribu-ribu pesakit baru harus dijaga. Jadi, dari pengurusan dan kawalan penyakit, fasiliti yang lebih penting dan diperlukan adalah seperti apa yang telah diumumkan oleh kerajaan dalam bajet baru-baru ini: Institut Penyakit Berjangkit di Bandar Enstek Negeri Sembilan.

Haruslah saya nyatakan juga, usaha menangani situasi pandemik dan rawatan bukan hanya tanggungjawab kerajaan sahaja, seolah-olah sektor kesihatan swasta boleh dikecualikan. Mereka juga diminta oleh orang awam untuk memikul beban bersama kerajaan juga, dan memberi kemudahan kepada pesakit yang dijangkiti ataupun dikuarantinkan. Dalam tempoh krisis kemanusiaan, usahlah mereka katakan menjaga keuntungan ataupun ‘bottom line’ mereka – pihak pengurus fasiliti perubatan haruslah diingatkan tentang Tanggungjawab bersama dan ‘People before profit’ – Kebajikan masyarakat didahulukan.


b)      Dari segi kakitangan kesihatan

CH:

Sudah pasti sekarang frontliners kita amat berpengalaman semasa menghadapi pandemik COVID-19, sama juga frontliners di seluruh dunia, tetapi wabak pada masa depan mungkin muncul dalam bentuk dan cara jangkitan yang jauh beza. Jadi, persiapan terhadap wabak akan datang adalah penting dari segi kawalan penyakit wabak.

Tidak dapat dinafikan bahawa lebih ramai kakitangan kesihatan terutamanya pengamal-pengamal perubatan ataupun ‘frontliners’ anggota-anggota barisan hadapan diperlukan untuk menjalankan tugas untuk menangani dan merawat jangkitan penyakit baru, tetapi lebih-lebihnya untuk memuaskan permintaan perkhidmatan kesihatan menjaga orang awam.

Untuk makluman anda, rancangan kerajaan untuk memperkembangkan tenaga kerja terutamanya untuk penjagaan kesihatan, telah ditetapkan dan sedang dijalankan. Langkah tersebut adalah untuk memenuhi permintaan servis penjagaan kesihatan atau perubatan yang semakin meningkat di Malaysia. Rancangan adalah mustahak dan munasabah, TETAPI masalahnya adalah pelaksanaan rancangan haruslah diberi kerjasama oleh pihak lain daripada kerajaan juga, seperti Jabatan Perkhidmatan Awam yang menentukan dan mewujudkan jawatan tetap rasmi kepada pengamal-pengamal perubatan yang menunggu. Situasi inilah adalah konundrum yang dihadapi oleh doktor kontrak.

 

3.       Berikutan keadaan pandemik ini, banyak kelemahan yang tidak dipedulikan mula timbul. Salah satu daripadanya adalah isu kontrak bagi kakitangan kesihatan. Seperti yang dapat kita lihat dalam laporan berita mengatakan bahawa adanya jurang yang besar antara kakitangan kesihatan kontrak dan kakitangan tetap. Dr boleh terangkan mengapa jurang ini berlaku dan apakah perbezaan antaranya? Dan mungkin Dr boleh kembangkan lagi bagaimana masalah ini berlaku? Apakah antara faktor disebalik isu ini?

 CH:

Status kakitangan kesihatan kontrak dan kakitangan tetap ada perbezaan dan jurang, ini sememangnya dapat dijangkakan. Manfaat dan kebajikan kepada kakitangan perkhidmatan awam sepatutnya hanya diberi layanan setimpal sekiranya anda adalah kakitangan tetap.

Tetapi, isu atau masalah kontrak ini timbul kerana dasar kerajaan yang tidak koheren, menyebabkan ramai yang berlayak diterima sebagai kakitangan tetap terpinggir kat luar sebagai kakitangan kontrak. Ini tidak adil pada titik permulaan, jadi, ini adalah tanggungjawab kerajaan untuk menjaga kebajikan doktor kontrak dan cuba memberi layanan yang hampir serupa kepada kedua-dua kumpulan, janganlah ada diskriminasi kerana status kerja yang di luar kawalan pengamal-pengamal kesihatan tersebut. Mereka bekerja sama panjang dan sama berat, sepatutnya diberi manfaat yang hampir sama.

Janganlah menyalahkan graduan perubatan yang ramai, ini semua adalah dalam jangkaan kerajaan  semasa buat unjuran jumlah permintaan jawatan dan jumlah graduan serta jumlah tenaga kerja yang diperlukan oleh sektor kesihatan. Kerajaan haruslah mengubahsuai dasar polisi bagi mengambil lebih ramai doktor kontrak ke dalam sistem perkhidmatan awam dan mengecualikan sesetengah bahagian dalam kementerian dalam rancangan optimisasi saiz kakitangan.

 

4.       Selain isu kakitangan kesihatan, berita seperti katil hospital tidak cukup, pesakit kongsi tangki oksigen juga turut dilaporkan. Adakah ini masalah yang turut dihadapi oleh negara–negara lain? Adakah fasiliti kesihatan di negara kita memang tidak mampu untuk menampung pesakit? Adakah ini masalah yang baru semasa pandemik atau masalah yang sedia ada sebelum pandemik berlaku?

 CH:

Ya, banyak negara mengalami masalah tersebut, ada yang menghadapi situasi jauh lebih teruk daripada Malaysia. Contohnya, India semasa dilanda dengan gelombang jangkitan Delta varian tahun ini. Bersyukurlah kerana Malaysia masih ada sistem kesihatan awam yang sempurna dan tidak bergantung banyak terhadap sektor swasta. Berfikirlah apa rupanya jika kerajaan haruslah sentiasa berunding dengan pihak swasta yang berbeza atas pelaksanaan program atau dasar memberi rawatan dan ujian COVID-19.

Memang benar bahawa pandemik COVID-19 kali ini, seperti apa yang berlaku pada bulan Julai dan Ogos tahun ini, telah memberi cabaran agak besar sampai melumpuhkan sesetengah sistem penjagaan di negeri-negeri dan hospital-hospital tertentu. Akibat daripadanya, ramai yang dijangkiti dan dikorban kerana tidak dapat rawatan dengan sempat.

Sebelum pandemik COVID-19, sudah diketahui bahawa bilangan katil di hospital KKM adalah agak penuh, sehingga semua hospital utama negeri sampai 70% dan ke atas.  Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang telah pun mencapai hampir 90%. Tragedi kematian beratus-ratusan berlaku di Klang semasa bulan Julai-Ogos adalah sangat sedih dan mengecewakan. Jadi kerajaan haruslah mengutamakan isu kesihatan selepas apa yang telah berlaku di sektor kesihatan awam semasa pandemik. Malangnya, dari segi bajet 2021 dan 2022, saya tak nampak kemahuan politik yang kuat dan ketara berkenaan peningkatan pelaburan dalam sektor kesihatan awam.

 

5.       Dalam belanjawan yang baru, adakah Kerajaan memberikan lebih banyak bajet dalam meningkatkan fasiliti kesihatan dalam fasa pemulihan Covid-19?

 CH:

Dukacitanya saya maklumkan, Tidak, kerajaan gagal melabur secukupnya mahupun merentasi jangkaan minimum saya. Peningkatan peruntukan untuk KKM adalah terendah dalam 6 tahun, hanya sebanyak 1.5%, Ya, walaupun ada penambahan bajet bagi pengurusan ia hanya 3%, saya anggap jumlah ini hanya cukup bagi pelarasan seperti gaji kakitangan.

Apa yang sangat mengecewakan saya adalah peruntukan bagi bajet pembangunan. Sebanyak RM440 juta telah dipotong. Apa mesej yang hendak kerajaan hantarkan, sedangkan masyarakat, aktivis dan orang awam banyak menyatakan bahawa pelaburan serius haruslah dituju kepada sektor kesihatan awam, dan pembangunan serta naik-taraf fasiliti dan kemudahan KKM harus dirancang dan dilaksanakan. Mestilah anda tahu, jika nak bina satu hospital, ia akan ambil masa tempoh lebih kurang 5 tahun. Kalau lewat bermula projek, maka terlewatlah manfaatnya dibawa kepada masyarakat setempat. Kelewatan semua ini adalah berkaitan dengan peruntukan, dan ini bukan perkara yang remeh-temeh, tetapi melibatkan nyawa dan kesejahteraan orang ramai.

 

6.       Malaysia dijangka selesai memberi suntikan lengkap vaksin COVID-19 kepada sekurang-kurangnya 80 peratus populasi negara menjelang 3 Disember depan. Imuniti kelompok adalah harapan dalam memutuskan rantaian jangkitan wabak ini. Setakat 17 Nov lalu, tahap vaksinasi negara juga mencapai 76.2%. Walau bagaimanapun, ada sesetengah individu atau kelompok yang tidak mahu mengambil suntikan vaksinasi. Pada pandangan Dr, adakah seseorang mempunyai hak untuk menolak daripada divaksin atau ini merupakan kewajiban rakyat di setiap negara untuk ambil?

 CH:

Ya, seseorang ada hak untuk menentukan apa yang dimasukkan ke dalam badan sendiri. Tiada orang sepatutnya buat keputusan bagi seseorang, jika orang itu boleh berfikir dengan waras dan umurnya cukup matang. Konsen, ataupun ‘persetujuan’ individu adalah mustahak dalam pertimbangan etika perubatan. Sekiranya pembuatan seseorang tidak mengganggu ataupun menjejaskan hak orang lain, dialah yang harus bertanggungjawab atas keputusan dan tingkah laku sendiri. Dalam isu vaksin COVID-19, orang yang menolak vaksin mungkin berpeluang dijangkiti dan mengalami penyakit teruk sehingga risiko kematian, tapi mengikut pengetahuan sains terkini, orang yang divaksin ataupun tidak divaksin masing-masing ada peluang yang lebih kurang sama untuk menjangkiti orang lain. Jadi, orang yang tolak vaksin tidak harus dipersalahkan dan didiskriminasikan. Walaupun keputusan untuk tidak menerima vaksin, pada pendapat saya, saya tidak menggalakkan. Saya boleh memberi keterangan kenapa vaksin ada banyak manfaat, tetapi jika seseorang masih tegas atas pendirian itu, dialah yang akan menghadapi risiko dan mungkin akibat yang lebih besar. Saya tidak akan berasa simpati jika keputusan seseorang memudaratkan sendiri.

Akan tetapi, saya berasa kerajaan tidak wajar untuk menjadikan imunisasi COVID-19 sebagai wajib ataupun de-facto wajib. Seorang individu mesti ada hak untuk membuat keputusan terhadap apa yang dimasukkan ke dalamnya sendiri. Jika tidak, masyarakat ini adalah amat dahsyat jika seseorang boleh dipaksa.



No comments: